Tahun 2010 sudah hampir ke penghujungnya dan tahun 2011 akan bermula lebih kurang seminggu saja lagi. Anda ingin tahu apakah gajet idaman tahun 2011 terutama bagi penggemar gajet digital. Jom sama-sama baca apakah gajet yang bakal mewarnai dunia teknologi tahun 2011 nanti.
Blackberry Playbook
Dikatakan bakal menjadi pesaing terdekat iPad, tablet keluaran
Research in Motion (RIM) itu dibekalkan dengan sistem operasi yang
dibangun khusus untuknya. Ia dikuasakan dengan unit pemproses dual-core
bagi menyokong ciri pelbagai tugasan aplikasi yang lazim terdapat pada
telefon pintar Blackberry. Ciri lain seperti dua unit kamera berdefinisi tinggi (HD) di
bahagian hadapan dan belakang serta Bluetooth yang ditawarkan merupakan
kelebihan Playbook berbanding iPad keluaran Apple Inc.
Netbook berkuasa Chrome
Netbook yang dikuasakan dengan sistem operasi Chrome yang
dibangunkan oleh Google juga dijangka memasuki pasaran tahun hadapan.
Selain menjadi satu lagi alternatif kepada sistem operasi yang popular
seperti Windows dan Mac OS, ia turut menawarkan sistem operasi pantas
yang boleh dihidupkan serta-merta tanpa perlu menunggu boot-time yang
kadangkala membosankan.
Tablet Motorola Android 3.0
Motorola juga tidak mahu ketinggalan dalam 'perang tablet' di antara
Apple dan Blackberry dengan memperkenalkan tablet keluaran mereka. Digerakkan menggunakan versi Android terkini yang dikenali sebagai
Honeycomb - sistem operasi sumber terbuka yang dibangunkan oleh Google
tentunya menjadi pilihan kaki gajet yang inginkan fleksibiliti dan
stabiliti dalam sistem operasi digunakan.
iPhone 5
Sungguhpun ia belum lagi sahih, namun ramai penganalisis teknologi yang berpendapat spekulasi itu bakal menjadi kenyataan. Ini disokong lagi dengan trend Apple yang tidak putus-putus
menawarkan versi terbaru iPhone mereka setelah beberapa ia memasuki
pasaran. Namun begitu, spesifikasi dan apakah ciri yang bakal dikekal atau
diubah belum dapat dipastikan lagi. Mungkin kita hanya perlu menunggu
beberapa bulan lagi sebelum dapat melihat 'kebocoran' gambar
prototaipnya di Internet.
LG Star
Jika sebelum ini mungkin kita merungut tentang kualiti grafik yang
terdapat pada telefon pintar, isu ini mungkin tidak timbul selepas ini
kerana pengeluar chipset grafik Nvidia akhirnya berjaya menghasilkan
versi Tegra 2 untuk telefon bimbit LG Star. Telefon keluaran syarikat pengeluar barangan elektrik dan elektronik
Korea itu turut menawarkan sistem operasi Android 2.3 (Gingerbread)
dengan kamera lapan megapiksel dan berupaya merakam video berdefinisi
tinggi.
Pengecas wayarles ElectroHub
Pengecas tanpa wayar ElectroHub itu membolehkan peranti elektronik anda dicas tanpa perlu dicucuk sebarang kabel padanya. Anda hanya perlu menukarkan bateri asal peranti anda dengan bateri
keluaran ElectroHub dan anda boleh mengecasnya dengan hanya perlu
meletakkan gajet anda pada pad pengecas.
Sumber : Kosmo
0 Comments