Tips Kejayaan Penyusuan Susu Ibu

Entri ini merupakan entri pertama yang terpilih untuk Segmen Penulis Jemputan ciklaili.com yang ditulis oleh Puan Adibah. Jom sama-sama kita membaca pengalaman dan tips kejayaan penyusuan susu ibu yang dikongsikan oleh beliau. Mudah-mudahan entri ini boleh dijadikan panduan buat ibu-ibu di luar sana.

-----------------------------------------------------

Saya kira saya amat beruntung kerana pendedahan tentang kepentingan susu ibu telah pun menular tatkala saya berada di kehamilan pertama. Saya masih ingat lagi bagaimana tekadnya saya untuk memastikan anak-anak saya hanya diberikan susu ibu sepenuhnya. Saya juga amat yakin di ketika itu bahawa penyusuan ibu adalah sesuatu yang alami dan ia akan berlaku dengan sendirinya. Tidak sampai setengah hari selepas melahirkan Aish Naufal, putera pertama saya, barulah saya tersedar betapa khilafnya saya.

Penyusuan susu ibu adalah sesuatu yang perlu dipelajari, ia bukan datang dengan sendiri, baik di pihak ibu, mahupun di pihak bayi.  Aish menolak langsung untuk disusukan.  Pelbagai kaedah dan posisi saya cuba untuk “memaksa” dia menghisap, tapi cubaan demi cubaan tersebut hanya menemui jalan buntu.  Hanya tangisan dan jeritan bayi yang semakin kuat dek penat dan juga lapar. Akhirnya saya tidak sampai hati dan terpaksa membiarkan misi hospital memberikan botol kepada Aish.  

Sepanjang seminggu pertama, saya masih lagi cuba untuk memberikan penyusuan langsung (direct feeding) kepada Aish tetapi akhirnya saya sendiri menjadi tertekan dan sejak itu bermulalah episod pengepaman ekslusif (exclusive expressing), iaitu pam dan kemudian diberikan kepada bayi melalui botol. Alhamdulillah, melalui teknik ini saya berjaya memberikan susu ibu sepenuhnya sepanjang tempoh berpantang.  

Walau bagaimanapun, hasil perahan semakin menyusut hari demi hari. Ini disebabkan tiada simulasi natural daripada bayi dan hanya mengharapkan pam sahaja.  Perlu ditekankan juga, pam tidak semestinya dapat mengosongkan susu sepenuhnya dari payudara.  Disebabkan itu, saya sering demam kerana mengalami bengkak payudara (breast engorgement). Sakitnya Ya Allah, hanya ibu-ibu yang pernah merasainya sahaja yang akan faham.

Saya akan hanya mampu terbaring di katil sepanjang hari dan mengharap ehsan suami dan ahli keluarga lain untuk menjaga Aish dan apa-apa keperluan lain.  Pernah di satu tahap, payudara saya menjadi kemerahan.  Mujur saya cepat ke klinik kerana doktor mendapati sudah ada jangkitan dan perlu mengambil antibiotik serta-merta. Jika terlambat, alamatnya doktor mungkin terpaksa melakukan pembedahan untuk mengeluarkan nanah di dalam payudara itu.

Sejak dari itu, susu saya semakin hari semakin berkurang, ditambah pula dengan rasa tertekan saya setiap kali pam kerana hasil yang sungguh menyedihkan. Akhirnya, setelah Aish genap empat bulan, saya memutuskan untuk berhenti mengepam dan bergantung pada susu formula sahaja. Berputik dari kegagalan ini, saya mula mencari segala ilmu tentang penyusuan ibu. Saya benar-benar bertekad "pisang tidak akan berbuah dua kali".

Kini, Aish telah bergelar abang kepada dua orang adik lelaki, Adam Nu'man dan Ammar Yusuf yang kedua-duanya berjaya saya susukan sepenuhnya. Segala puji dan syukur ke atas Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Pengurnia Nikmat! 

Izinkan saya berkongsi tips kejayaan penyusuan susu ibu dengan para pembaca sekalian dan bagaimana saya mampu bangkit semula setelah gagal buat kali pertama : 

1. Oleh kerana saya mengalami masalah "inverted nipple" dengan Aish, semasa mengandungkan Adam, doktor menyarankan saya supaya selalu menarik puting ketika mandi di trimester terakhir supaya puting keluar dan mudah bagi bayi menyusu seusai lahir. 

2. Pastikan penyusuan pertama sebaik sahaja bayi lahir atau dalam jangka masa tidak lebih satu jam selepas melahirkan. Bagi saya, penyusuan pertama ini adalah titik tolak memastikan penyusuan selanjutnya berjalan lancar dan mudah. Tiada masalah jika masih di wad bersalin dan belum berpindah ke wad biasa, semua boleh dilakukan jika kita mahu.

3. Abaikan mulut-mulut orang yang cuba memperlekehkan usaha kita untuk menyusukan bayi. Lebih elok jika dapat dedahkan dengan suami tentang kepentingan susu ibu supaya dia boleh menjadi penyokong tegar walaupun ahli keluarga lain mungkin tidak sependapat. 

4. Jika menghadapi masalah, jangan segan untuk mendapatkan bantuan daripada pakar laktasi. Anda boleh sahaja membuat carian di internet untuk mendapatkan kontak pakar laktasi berhampiran. 

5. Banyakkan berdoa kepada Allah supaya memudahkan proses penyusuan dan memperbanyakkan susu kita. Anda boleh merujuk entri Amalan Baik Semasa Mengandung yang menggalakkan bakal ibu membaca surah Hujurat untuk memperbanyakkan susu ibu.

Ammar Yusuf (putera ketiga) di usia 7 bulan

Post a Comment

10 Comments

  1. tahniah akak, skrg pun sy tengok ramai ibu2 yg menyokong penyusuan susu ibu nih, org bekerjaya pun gigih pastikan anak diorg dpt susu ibu yg cukup.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul tu. Memang ramai yang menyokong penyusuan susu ibu..

      Delete
  2. terharu bc cerita sdri. smngt yg kuat. sy kgum dgn kesungguhan sdri.. :)-

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang kena kuat semangat bila orang sekeliling tak support penyusuan susu ibu..

      Delete
  3. Terima kasih ciklaili.com sebab sudi siarkan entri saya. I'm really honored! Semoga bermanfaat kepada semua hendaknya :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sama-sama. Perkongsian yang amat berharga buat seorang yang dipanggil ibu..

      Delete
  4. isteri saya biasa pergi berurut dengan bidan sebelum melahirkan anak..

    ReplyDelete
  5. Allah. Allah. Allah.

    Cabaran buat ibu.

    ReplyDelete
  6. Betul betul betul. *gaya upin ipin Hehe. Memang nak menyusukan bayi ni mental dan fizikal kena kuat. Tabik spring toing2 kat ciklaili. Terima kasih atas perkongsian. :D

    ReplyDelete