Agama Islam itu sangat indah kerana memberikan kelebihan kepada para musafir untuk melakukan Solat Qasar dan Jama'. Jadi kita tiada alasan untuk tidak melaksanakan rukun islam yang kedua ini. Sebagai ibu bapa, kami telah
ajarkan ilmu tentang pelaksanaan Solat Qasar dan Jama' kepada anak sulung kami sejak usianya 6 tahun lagi. Kami biasa membawa bersama anak-anak ketika berjalan jauh, jadi lebih baik ilmu tentang solat ini diajar sejak mereka kecil.
Di sini saya ingin kongsikan Panduan Solat Qasar Dan Jama' yang disediakan oleh pihak JAKIM untuk pembaca blog ini. Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua.
Solat Qasar
- Maksud Solat Qasar adalah mengqasarkan (memendekkan) solat yang empat rakaat iaitu Zuhur, Asar dan Isya’ kepada dua rakaat sementara solat Maghrib dan solat Subuh tidak boleh diqasarkan.
- Jarak dibenarkan Qasar 2 marhalah iaitu empat burudin di mana setiap burudin mempunyai empat farsakh dan setiap farsakh terdiri daripada 5514 meter mengikut kiraan moden. Dari itu, dua marhalah adalah bersamaan 89 kilometer.
- Hukum Qasar Harus berdasarkan kepada dalil berikut :
Al-Quran surah al-Nisa’ ayat 101 yang bermaksud :“Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) solat jika kamu takut diserang oleh orang kafir…”Al-Sunnah yang bermaksud :‘Ya’la bin Umayyah pernah bertanya kepada Umar bin al- Khattab, “Kenapa kita perlu mengqasarkan solat sedangkan kita berada dalam keamanan?” Lalu beliau menjawab, “Aku telah bertanya kepada Nabi s.a.w., dan Baginda bersabda, solat qasar itu adalah sedekah yang Tuhan telah bersedekah kepadamu, maka terimalah sekalian kamu akan sedekah- Nya” (Riwayat al-Nasa’i dan Abu Daud)
Syarat Solat Qasar
i. Hendaklah pelayaran atau perjalanan itu diharuskan oleh syara’.
ii. Jauh pelayaran atau perjalanan itu tidak kurang daripada dua marhalah (89 kilometer / 56 batu)
iii. Berniat qasar di dalam takbiratul ihram.
iv. Tidak berimam dengan orang yang solat tamam (sempurna)
v. Hendaklah solat yang diqasarkan itu terdiri dari solat empat rakaat.
Contoh niat
أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا لله تعالى
(Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat Qasar kerana Allah Taala)
Solat Jama’
i. Jama’ Taqdim iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar dalam
waktu Zuhur atau solat Maghrib dan solat Isya’ dalam waktu Maghrib.
ii. Jama’ Ta’khir iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar dalam
waktu Asar atau solat Maghrib dan solat Isya’ dalam waktu Isya’.
Syarat Solat Jama’ Taqdim
i. Hendaklah bersolat secara tertib iaitu mendahulukan solat Zuhur daripada solat Asar dan solat Maghrib daripada solat Isya'.
ii. Hendaklah niat Jama’ Taqdim di dalam solat pertama sebelum salam tetapi yang afdhalnya di dalam takbiratul ihram.
iii. Berturut-turut di antara solat yang dijama’kan itu.
iv. Berkekalan pelayaran atau perjalanan itu hingga takbiratul ihram solat yang kedua.
v. Berkeyakinan adanya waktu solat yang pertama (Zuhur atau Maghrib)
berkekalan sehingga didirikan solat yang kedua (Asar atau Isya’).
Syarat Solat Jama’ Ta’khir
i. Hendaklah berniat jama’ dalam waktu pertama iaitu Zuhur atau Maghrib.
ii. Berkekalan pelayaran atau perjalanan hingga memberi salam solat yang kedua.
Contoh niat Jama' Taqdim
i. Jama’ Taqdim Empat Rakaat
أصلي فرض الظهر اربع ركعات مجموعا إليه العصر اداء لله تعالى
(Sahaja aku solat fardhu Zuhur empat rakaat dihimpunkan kepadanya Asar tunai kerana Allah Taala)
ii. Jama’ Taqdim Berserta Qasar
أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إليه العصر اداء لله تعالى
(Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat dihimpunkan kepadanya Asar tunai kerana Allah Taala)
Contoh niat Jama’ Ta’khir
i. Jama’ Ta’khir Empat Rakaat
أصلي فرض الظهر اربع ركعات مجموعا إلى العصر اداء لله تعالى
(Sahaja aku solat fardhu Zuhur empat rakaat dihimpunkan kepada Asar tunai kerana Allah)
ii. Jama’ Ta’khir Beserta Qasar
أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إلى العصر اداء لله تعالى
(Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat dihimpunkan kepada Asar tunai kerana Allah)
9 Comments
Tq ye..info yg sgt bermanfaat
ReplyDeletesama-sama
Deleteterima kasih cik laili atas perkongsian yang sangat bermanfaat ini
ReplyDeletepanduan untuk para musafir
Deletethanks for the info.. semoga info ini akan jadi info yang amat berguna... :)
ReplyDeletewelcome :)
Deletebagus ni sya pun kadang terlupa caranya
ReplyDeletekalau terlupa lagi bolehlah baca doa ni..
DeleteThank you, sangat berguna sekali.
ReplyDelete