Dompet Dicuri : Apa Yang Perlu Anda Lakukan

'Tragedi Januari' benar-benar membuatkan saya lebih berhati-hati untuk menunaikan solat di tempat awam. Siapa sangka ditempat umat Islam menyembah Allah Yang Satu, pada ketika itulah ada manusia yang mengambil kesempatan untuk mencuri dan lebih menyedihkan pencuri tersebut adalah seorang perempuan. Tidakkah dia punyai rasa takut kepada Allah Yang Maha Melihat segala apa yang dilakukannya pada ketika itu? Jawapannya sudahlah tentu tidak. Kalau tidak masakan dia boleh mencuri, kan? Saya ingin kongsikan dengan anda semua kisah yang berlaku kepada diri saya pada akhir bulan Januari yang lalu.  

---------------------------------

Pada hujung minggu biasanya saya dan suami akan membawa anak-anak keluar berjalan-jalan sama ada ke rumah ibu bapa saya atau ke rumah mertua. Pada hari kejadian, kami telah ke sebuah pusat membeli belah untuk membeli CD PS3 untuk Amir. Oleh kerana kami keluar rumah agak lewat, jadi sampai di pusat membeli belah hampir-hampir masuk waktu solat Maghrib. Saya minta suami menjaga anak-anak sementara saya menunaikan solat di surau perempuan.

Di dalam surau tersebut keadaan agak sesak kerana ramai yang ingin menunaikan solat. Ada juga beberapa orang yang sekadar duduk di bahagian tepi surau. Ketika mengambil wudhu', saya perhatikan juga keadaan sekeliling. Manalah tahu terjumpa orang yang saya kenali. Selesai wudhu', saya memilih satu sudut untuk menunaikan solat Maghrib seorang diri.

Setelah menunaikan solat, ketika saya ingin mengambil stokin yang dimasukkan ke dalam beg tangan, saya dapati dompet saya sudah tiada / dicuri. Ya Allah...bila masa dompet ini keluar dari beg tangan tanpa pengetahuan saya. Saya rasa agak panik tetapi cepat-cepat beristigfar. Ini ujian Allah kepada saya, adakah saya mampu menghadapinya atau tidak.

Sempat saya bertanya kepada beberapa orang jemaah yang ada, tetapi masing-masing menyatakan jawapan yang sama, "tak nampak sesiapa pun yang mencurigakan". Saya berjumpa dengan seorang pekerja pusat membeli belah tersebut dan mengadu akan kejadian yang berlaku. Hanya jawapan ini yang saya terima, " Maaf..pihak kami tidak bertanggungjawab akan sebarang kehilangan".

Saya beredar dari surau tersebut dan mendapatkan suami dan anak-anak yang menunggu saya di luar. Saya ceritakan apa yang telah berlaku sebentar tadi. Suami minta saya bertenang sementara beliau dan Amir menunaikan solat pula. Saya hanya duduk sambil mengingat apa yang ada di dalam dompet tersebut. Hmm...semuanya penting!

Langkah yang saya lakukan selepas kejadian itu :

1. Segera menelefon bank yang berkaitan untuk block akaun bank.

Jika anda mempunyai akaun perbankan internet seperti cimbclicks, maybank2u, i-Rakyat dan lain-lain, anda bolehlah transfer duit yang ada ke akaun yang lain bagi mengelakkan duit anda dikeluarkan melalui kad ATM. Dalam kes saya, pencuri berjaya mengeluarkan duit semasa saya sedang menelefon pihak bank. Transaksi dilakukan dalam masa 15 minit selepas kejadian berlaku.

2. Buat laporan polis di balai polis yang berdekatan.

Beritahu kepada pegawai polis yang dompet anda telah dicuri. Pegawai polis akan meminta anda menyenaraikan apa yang terkandung di dalam dompet tersebut. Jangan panik...tenangkan fikiran dan ingatlah satu persatu apa yang ada di dalam dompet. Dalam kes saya, boleh dikatakan semua dokumen penting ada di dalam dompet tersebut seperti MyKad saya, MyKid anak-anak, lesen memandu, 2 kad ATM, kad SSPN anak-anak, gambar, wang tunai dan duit syiling. 

Pegawai polis akan menyediakan laporan mengikut apa yang saya ceritakan berserta dokumen yang dicuri. Kemudian, saya diminta untuk membaca laporan polis tersebut sebelum laporan tersebut dicetak. Tiada bayaran dikenakan semasa membuat laporan polis.

Buat beberapa salinan laporan polis tersebut untuk kegunaan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

3. Memberitahu Ketua Jabatan / Boss apa yang menimpa diri anda.

Oleh kerana saya seorang penjawat awam dan memerlukan cuti untuk membuat urusan pada waktu bekerja, saya menelefon dan menghantar SMS kepada ketua jabatan bagi memaklumkan apa yang telah berlaku dan memohon untuk mengambil cuti.

4. Membuat MyKad dan MyKid baru di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Kejadian kecurian yang saya alami berlaku pada hujung minggu, maka urusan untuk membuat MyKad saya dan MyKid anak-anak di JPN hanya boleh dilakukan pada hari Isnin. Di JPN, bawa bersama salinan laporan polis dan perlu mengisi borang untuk membuat MyKad dan MyKid baru. Urusan mengambil gambar dan pengesahan cap jari juga dilakukan pada masa yang sama. 

* Untuk kes kecurian, tiada bayaran yang dikenakan. Salinan MyKad Sementara diberikan selepas itu.

MyKad boleh diambil dalam masa 24 jam (bergantung kepada JPN di tempat anda) atau  selepas tempoh 2 minggu manakala MyKid pula selepas 4 bulan dari tarikh permohonan dibuat.

5. Membuat Lesen Memandu baru di Pejabat Pengangkutan Jalan (JPJ)

Urusan untuk membuat lesen memandu baru pula hampir sama seperti urusan di JPN. Saya membawa salinan laporan polis dan mengisi borang berkaitan. Urusan mengambil gambar dilakukan di situ dan lesen memandu boleh diperolehi selepas beberapa minit kemudian. 

Lesen memandu saya yang telah dicuri.
Baca kisah saya menukar lesen memandu baru 2013

6. Membuat kad ATM 

Proses membuat buku bank dan  kad ATM memerlukan MyKad. Dokumen yang saya ada iaitu MyKad Sementara tidak boleh digunakan. Cara lain yang boleh dilakukan ialah pergi ke bank di mana akaun tersebut dibuat. Jika tidak, perlulah menunggu sehingga MyKad baru diterima dan membuat proses kad ATM baru di bank berkaitan.

Alhamdulillah, semua kad yang hilang telah selamat diganti dengan kad yang baru. Selepas ini saya perlu lebih berhati-hati untuk solat ditempat awam. Diharap perkongsian pengalaman yang saya lalui ini boleh dijadikan panduan sekiranya perkara yang sama berlaku kepada diri anda.

* Terima kasih kerana sudi membaca.

Post a Comment

10 Comments

  1. aduhh..bnyaknya urusan kalau berlaku macam tu kan..kasihan cik laili..saya pun ada pengalaman dengan handbeg dirembat di tempat solat juga..

    ReplyDelete
  2. Memang banyak urusan perlu dilakukan selepas kehilangan dokumen penting.

    ReplyDelete
  3. susah juga ya, kena back up dan selalu beringat lah pasni

    ReplyDelete
  4. waspada dan hati2 biar tidak jadi korban salanjutna

    ReplyDelete
  5. pencurinya dpt ditangkap ke tak sbb dia dah guna kad atm awak tu?

    ReplyDelete
    Replies
    1. tak dapat ditangkap. kes ditutup macam tu aje.

      Delete
  6. Kalau dah hilang 2 or 3 hari..still bole kn buat report polis?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Boleh..salinan report polis memang digunakan untuk buat kad pengenalan baru. untuk kes kecurian, tak perlu bayar untuk buat kad pengenalan baru.

      Delete
  7. boleh sy tahu cara procedure nak buat lesen tu semula, sbb sy kurang faham adakah kne tunggu mykad siap dulu? atau mcm mne? denda dikenakan ke utk lesen yg dicuri tu?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tidak perlu tunggu MyKad siap. Anda hanya perlu membawa salinan laporan polis dan mengisi beberapa borang yang berkaitan.

      Urusan mengambil gambar dilakukan di JPJ tersebut dan lesen memandu boleh diperolehi selepas beberapa minit kemudian.

      Tiada bayaran dikenakan kecuali anda ingin menambah tempoh lesen memandu.

      Delete