Selamat Datang Putera Kecil ciklaili.com

Agak lama sebenarnya blog ini tidak di'update' dengan entri baru. Bermula dari tahun 2015 hingga ke saat entri ini ditaip (November 2018) mood untuk kembali aktif berblog agak kurang. Bukan tidak sayang kepada blog ini (walaupun setiap tahun saya setia membayar pembaharuan domain) tetapi disebabkan kekangan waktu dan agak sibuk dengan kehidupan seharian, maka blog ini dibiarkan sepi begitu sahaja. Terima kasih diucapkan kepada anda yang mengikuti perkembangan blog ciklaili.com selama ini atau mungkin juga anda merupakan pengunjung baru yang sampai ke blog ini melalui carian google. Terima kasih sekali lagi. 

Jika anda pernah membaca entri Selamat Datang Puteri Kecil ciklaili.com yang diterbitkan pada bulan April 2016, entri ini pula saya dedikasikan kepada putera kecil saya yang merupakan anak ke-4 kami. Syukur alhamdulillah, dihujung usia 30-an saya masih diberi peluang untuk mengandung semula walaupun jarak diantara anak ke-3 dan ke-4 ini agak rapat dan tidak seperti kelahiran anak pertama dan ke-2 yang mempunyai jarak umur yang agak jauh.

Sebenarnya ada kisah menarik disebalik kehamilan anak ke-4 ini. Pada awal tahun 2018, saya telah mengalami sakit gigi dan memerlukan rawatan di klinik pergigian. Sewaktu menerima rawatan, doktor bercadang untuk melakukan X-ray pada bahagian gigi yang sakit. Sebelum itu, doktor bertanya sama ada saya mengandung atau tidak. Jika mengandung, proses X-ray tidak boleh dibuat. 

Saya meminta doktor memberikan ubat tahan sakit sahaja dan menolak untuk melakukan X-ray memandangkan 'period' saya agak lewat pada bulan tersebut. Selepas mendapatkan rawatan, saya terus ke farmasi untuk membeli alat ujian kehamilan. Oleh kerana keputusan ujian kehamilan yang dibuat agak kabur (saya tidak yakin sama ada mengandung atau tidak), akhirnya saya pergi ke klinik pula. Setelah ujian air kencing dibuat, maka doktor telah mengesahkan bahawa saya sedang mengandung 7 minggu. Ya Allah...siapa sangka disebabkan sakit gigi tersebut saya telah mendapat berita gembira. Syukurlah sepanjang proses kehamilan kali ini, saya tidak mengalami sebarang masalah kesihatan. 

Tarikh jangkaan bersalin (EDD) adalah pada 10 Ogos 2018 dan kali ini saya memilih untuk tidak mengambil cuti lebih awal memandangkan saya perlu mempersiapkan anak-anak murid yang akan menduduki peperiksaan percubaan SPM yang diadakan selepas beberapa minggu dari tarikh saya bersalin. Sama seperti tiga orang anak sebelum ini, saya tidak merasai tanda-tanda bersalin pada tarikh jangkaan. Oleh kerana kandungan telah berusia 40 minggu, jadi saya perlu ke klinik pada setiap hari untuk memeriksa jantung bayi dan sekiranya masih belum bersalin pada hari ke-6, saya dikehendaki melapor diri ke hospital.

Pada tarikh 16 Ogos 2018, saya akur dan pasrah yang saya belum ada tanda-tanda bersalin dan perlu ke hospital untuk pemeriksaan dan pemantauan. Setelah diperiksa dan tiada tanda-tanda kontraksi, saya dihantar ke wad biasa pada waktu tengah hari. Duduklah saya di wad sambil berdoa agar dipermudahkan proses kelahiran kali ini.

Syukur alhamdulillah, proses kelahiran anak ke-4 ini dipermudahkan oleh-Nya seperti kelahiran 3 orang anak sebelum ini. Proses bermula pada jam 11.45 malam (16 Ogos) dan pada jam 12.49 pagi (17 Ogos) saya telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki dan merupakan anak lelaki ketiga dalam keluarga kami. Yang lebih manis, ketiga-tiga orang anak lelaki kami dilahirkan pada hari Jumaat - penghulu segala hari.

Terima kasih diucapkan kepada suami, ahli keluarga, saudara-mara, sahabat handai dan semua yang mendoakan kesejahteraan saya dan anak ini.

Memperkenalkan putera kecil ciklaili.com :

Ahsan diusia 2 bulan lebih
(beberapa hari sebelum saya mula kembali bertugas)

Nama : MUHAMMAD AHSAN FAHRI
Tarikh / Masa Lahir : 17 Ogos 2018 (Jumaat) / 12.49 pagi
Berat : 3.22 kg


Post a Comment

2 Comments

  1. Alhamdulillah, tahniah Ciklaili, saya dulunya dan hingga sekarang sentiasa mengikuti perkembangan blog ini, semoga terus cemerlang mengemudi rumahtangga dan kerjaya, jangan tinggalkan blog ini yang dulunya antara blog otai yang kerap saya kunjungi untuk mempelajari tentang dunia blog:)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih CM. Insya Allah blog ni masih ada, cuma buat masa ni saya akan utamakan yang mana lebih utama. Tahniah juga untuk CM kerana prestasi blog CM yang semakin baik dari masa ke semasa.

      Delete